Blog Ini Hanya Memaparkan Laporan Aktiviti SMK Jengka 10 DanPerkara Yang Berkaitan Dengan PendidikanSahaja. Editor Tidak Bertanggungjawab Terhadap Sebarang Salah Laku Dalam Blog Ini.

SELAMAT DATANG

PAPAN KENYATAAN

TARIKH PEPERIKSAAN

Wednesday, July 20, 2011

Tip Peperiksaan 5



OTOT-OTOT mata menjadi letih kerana terlalu memberi tumpuan kepada huruf-huruf atau formula-formula fizik atau matematik yang bersaiz font 12 atau kurang.

Sebab itulah ramai pelajar yang apabila mahu belajar terasa mengantuk.

Ada pula yang tak sampai 10 minit berada depan buku mata terasa berat.

Apabila mata terlalu mengantuk kita akan menjadi hilang tumpuan.

Akibatnya, tumpuan kita tersasar.

Ini cukup merugikan masa.

Kenapa mengantuk? Kenapa ketika bermain atau menonton televisyen mata kita tidak mengantuk?

1. Tidak cukup tidur.

Ini memanglah punca utama ramai pelajar mengantuk ketika guru mengajar di sekolah. Ada sesetengah pelajar yang tidur lewat malam sehingga pukul 1 pagi.

Sedangkan esok hari persekolahan dan terpaksa bangun awal.

Ada yang tidur lewat kerana menelaah pelajaran.

Ada pula pelajar yang tidur lewat kerana membuang masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah seperti mendengar radio dan bersembang maya di Internet sehingga pagi.

Kalaulah ini masalah anda maka nyatalah yang anda belum menetapkan matlamat dalam hidup anda. Pelajar yang bermatlamat tidak buang masa dengan urusan yang sia-sia.

Kalau anda tidur lewat kerana mengulangkaji pelajaran maka anda juga perlu ubah tabiat buruk ini.

Ingat pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang belajar pintar bukan semata-mata kuat belajar.

2. Tidur yang berlebih-lebihan.

Tidur yang terlalu lama dan kerap juga menjadikan anda mengantuk. Tidur yang mencukupi ialah sebanyak 6-8 jam sehari. Pastikan anda tidak tidur lebih dari tempoh waktu ini.

3. Makan terlalu banyak.

Ini juga merupakan satu tabiat buruk. Apabila anda kuat makan maka perut anda terpaksa bekerja kuat memproses makanan tersebut. Proses ini memerlukan banyak oksigen dan mengerah banyak tenaga. Ini membuatkan anda akan mudah mengantuk waktu dalam kelas dan ketika mengulangkaji.

4. Badan terlalu letih.

Ada ketikanya anda mengantuk disebabkan badan anda terlalu letih dengan aktiviti sepanjang hari. Kalau anda ada masalah mengantuk cuba senaraikan semua aktiviti luar anda.

Ada ketikanya anda bersukan atau beriadah secara keterlaluan.

Bermain bola pada waktu petang secara berlebih-lebihan. Berbasikal keliling kampung berjam-jam. Semua aktiviti ini memerah keringat dan membuatkan anda keletihan.

Beriadah dan senaman memang baik untuk kesihatan tetapi tujuannya kena betul.

Perbaiki matlamat anda beriadah. Anda beriadah untuk membolehkan anda segar pada waktu malamnya bagi menelaah pelajaran. 20 - 30 minit sehari adalah mencukupi.

Ada pula sesetengah pelajar keletihan disebabkan aktiviti ko-kurikulum yang berlebih-lebihan.

Anda tidak perlu terlalu aktif dalam kegiatan ko-kurikulum hinggakan tiada masa untuk mengulangkaji dan sehingga memenatkan badan. Terlibat secara ala kadar.

Pilih aktiviti yang paling anda minati. Tidak ada gunanya kegiatan ko-kurikulum anda cemerlang sedangkan SPM anda kecundang.

Tidak ada gunanya menjadi olahragawan/olahragawati sekolah tapi akhirnya bekerja hanya sebagai budak kilang.

Oleh itu pastikan kegiatan harian anda seimbang antara pencapaian akademik dan penglibatan ko-kurikulum. Pastikan anda tidak kesuntukan masa. Pastikan anda tetap segar dan tidak mengantuk pada malamnya.

5. Tiada minat belajar.

Masalah ini sering dijadikan alasan oleh ramai pelajar.

Sebelum kita pergi lebih jauh cuba fikirkan sejenak antara MINAT dengan BELAJAR manakah yang wujud terlebih dahulu?

Minat tidak tercetus dengan sendirinya dalam diri anda. Ia sesuatu yang wujud disebabkan pengaruh-pengaruh tertentu seperti guru yang baik, penguasaan pelajaran yang sempurna, markah yang tinggi dan sebagainya.

Pernahkah anda dengar adanya pelajar yang dapat markah 90% dalam sejarah berkata yang dia tak minat sejarah? Tentulah tidak.

Oleh itu minat timbulnya apabila anda lihat dalam diri anda ada potensi untuk pergi lebih jauh. Minat mula timbul apabila anda dapat rasakan yang anda mula menguasai sesuatu mata pelajaran.

Oleh itu yang perlu anda perbaiki ialah cara belajar anda dan kegigihan anda sendiri.

Anda perlu mempunyai kemahiran belajar yang tinggi agar mudah menguasai setiap perkara baru yang dipelajari.

Kredit : ADAP

Tip Peperiksaan 4

Berikut adalah beberapa saranan apabila anda membaca buku-buku pelajaran:

1. Lihat seimbas kesemua muka surat yang anda akan baca. Dapatkan rangka kasar tentang teks yang bakal anda baca. Dapatkan satu gambaran yang menyeluruh terlebih dahulu. 

Perhatikan perkara-perkara yang berikut: 

* Tajuk-tajuk kecil - dapatkan perkaitan antara satu tajuk dengan tajuk yang lain.

* Rajah-rajah

* Jadual

* Carta

* Peta

2. Baca perenggan bahagian pendahuluannya.

3. Baca perenggan bahagian penutup atau kesimpulannya.

4. Yang terakhir barulah baca ayat demi ayat dan perenggan demi perenggan secara terperinci.

Membaca hanya satu hala. Ramai pelajar yang membaca dan mengharapkan 'input' semata-mata.

Mereka mengharapkan melalui pembacaan setiap maklumat disuap dari buku ke dalam minda.

Proses membaca begini ialah proses sehala dan ia cukup menjemukan dan membosankan.

Anda perlu berinteraksi secara interaktif antara anda dan buku yang dibaca. Untuk menjadikan proses membaca lebih bersifat dua hala anda perlu lakukan perkara yang berikut:

Dapatkan 10 - 20 soalan berkaitan tajuk yang mahu anda baca sebelum anda membaca teksnya. Fahami kehendak soalan ini. Apabila anda membaca kelak anda pasti menemui jawapan kepada soalan dan ini pasti meningkatkan tumpuan dan minat anda.

Sentiasa tanya diri anda sebarang soalan yang bermula dengan Apa? Siapa? Bila? Di mana? Berapa? Kenapa? dan Bagaimana? Ini membuatkan anda sentiasa mencari maklumat bukan sekadar mengharapkan maklumat itu tersedia untuk anda.

Selepas satu perenggan atau satu muka surat, berhenti sejenak.

Tanya diri anda sekali lagi tentang apa yang telah anda ketahui sebentar tadi.

Cuba lakar pada sehelai kertas rajah atau fakta-fakta penting yang anda ketahui.

CUba ceritakan semula pada diri anda apa yang telah anda baca.

Ceritakan dalam suara yang boleh didengar oleh telinga anda sendiri.

Dengan cara ini anda menggunakan bahagian otak yang lain untuk memproses maklumat.

Buat nota ringkas. Jangan sekadar membaca sahaja.

Cuba kenal pasti kata kunci (lihat artikel terdahulu) dan ringkaskan setiap fakta penting ke dalam bentuk nota ringkas.

Dengan melibatkan lebih banyak deria dalam satu-satu proses membaca membuatkan anda rasa seronok.

Dengan membuat nota ringkas anda sebenarnya menggunakan bahagian kinestatik diri anda.

Kalau sekadar membaca sahaja tanpa sebarang penghasilan nota anda cuma gunakan bahagian visual dan auditori semata-mata.

Penglibatan bahagian kinestatik penting kerana ia mengukuhkan lagi ingatan anda terhadap apa yang anda pelajari.
ULANG kaji secara sistematik pasti menghasilkan keputusan yang cemerlang. - gambar hiasan.

Kredit : ADAP

Tip Peperiksaan 3

KEAZAMAN tinggi murid istimewa selebral plasy, Ahmad Faiz Ibrahim telah berjaya membantunya memperoleh 4A IB dalam peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan kubang kerian 1, Kota Bharu tahun lalu.

SUDAHKAH anda memasang azam untuk tahun ini. Ada yang sudah, ada yang belum dan ada yang tidak mahu lagi berazam kerana kecewa azamnya selama ini tidak pernah tercapai.

Selain itu, ada juga yang berpegang kepada prinsip tidak perlu menunggu setiap awal tahun untuk berazam. Ia boleh dilakukan bila-bila masa.

Azam, cita-cita atau visi penting untuk semua orang terutamanya kepada anda sebagai murid yang menduduki peperiksaan pada September ini. Mendapat semua A dalam setiap mata pelajaran adalah azam yang baik.

Manakala sebagai individu, anda perlu menanam cita-cita dan merancang arah tuju hidup anda sendiri.

Jika tidak, anda hanya menerima apa sahaja yang diaturkan untuk anda walaupun tidak meminatinya dan jika ini berlaku, sebagai remaja, anda sebenarnya akan kehilangan satu nikmat hidup untuk merasai kegembiraan mencapai apa yang anda idam-idamkan.

Berikut dikemukakan cara-cara yang boleh membantu anda membina azam dan cita-cita:

1. Tetapkan sasaran sebenar

Bagi kanak-kanak, memang agak sukar untuk membayangkan masa depan anda. Bagaimanapun, ini tidak seharusnya menghalang anda untuk merancang masa depan. 

Menurut pakar psikologi, anda boleh mulakannya dengan `berangan'. Tetapi ingat, jangan jadi seperti Mat Jenin, berangan kosong. Sebaliknya, angan-angan anda perlu `berisi' dan bermakna.

Jadikan angan-angan anda sebagai sumber inspirasi yang boleh menggerakkan dan memajukan diri sendiri.

Pastinya ramai yang berangan-angan untuk menjadi salah seorang daripada angkasawan negaraataupun negarawan seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sertakan angan-angan itu dengan usaha-usaha yang setimpal untuk mencapai impian itu.

2. Fokuskan azam anda

Kadang kala ada antara kita yang mempunyai azam dan cita-cita yang terlalu luas dan abstrak sehinggakan tiada fokus dan tidak tahu di mana mahu bermula.

Oleh itu penting untuk anda menjuruskan cita-cita dan azam anda. Ia lebih mudah daripada memikirkan secara umum.

Contohnya cita-cita untuk menjadi tukang masak atau chef terkemuka, adalah terlalu umum. Anda perlu tahu terdapat pelbagai bidang masakan yang boleh anda ceburi seperti kek dan pastri, masakan barat, masakan timur, masakan antarabangsa dan sebagainya. Mana satu kegemaran anda sebenarnya. Tanya diri anda yang mana yang paling anda minat dan fokuskan cita-cita anda kepada yang satu itu.

Gunakan Internet untuk mencari maklumat lanjut mengenainya atau tanya orang yang berpengalaman mengenai bidang ini.

Bagaimana ibu bapa atau guru dapat membantu pelajar berazam?

. Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mencari makna sebenar atau menghuraikan azam mereka supaya lebih fokus.

. Pelajar perlu diingatkan bahawa apa yang dicita-citakan itu perlulah melibatkan diri mereka sendiri dan bukannya orang lain. Mereka sendiri perlu berusaha untuk mencapainya. 

. Untuk memberikan motivasi kepada pelajar supaya lebih yakin dengan azam dan cita-cita mereka, suruh mereka bayangkan diri mereka apabila apa yang dicita-citakan itu tercapai.

. Biarkan mereka gambarkan perasaan dan juga keadaan mereka apabila cita-cita menjadi kenyataan.

. Minta mereka tuliskan cita-cita mereka dan juga minta mereka jawab, apa yang paling membahagiakan mereka apabila cita-cita itu tercapai kelak.

. Minta juga mereka teliti azam dan cita-cita dan lihat di mana boleh dibuat penyesuaian.

. Mungkin cita-cita mereka terlalu ideal dan tidak realistik. 


. Sentiasa ingatkan mereka azam dan cita-cita yang tinggi juga memerlukan usaha dan komitmen yang tinggi.


. Bincang dengan mereka mengenai kecerdasan pelbagai untuk memudahkan mereka mengenal pasti di mana kekuatan mereka dan adakah ia selari dengan apa yang diinginkan.

Anda boleh sentiasa merujuk Internet yang mempunyai pelbagai jenis ujian personaliti dan minat yang boleh memberi sedikit idea kepada mereka di mana sebenarnya minat dan kecenderungan mereka

Kredit : ADAP

Tip Peperiksaan 2


NIKMAT kejayaan lebih bermakna selepas kita berjaya mengatasi segala rintangan. - Gambar hiasan 


BERSIKAP positif bukanlah sesenang percakapan. Dalam kehidupan sehari-hari, kita sentiasa menghadapi banyak rintangan tanpa diduga. Kehilangan orang yang dikasihi, menghadapi masalah kewangan ketika kita benar-benar memerlukannya, pertukaran guru yang disayangi, dan pelbagai masalah lain boleh menyebabkan pelajar secara tidak disedari menjadi seorang yang bersifat negatif.

Membina sikap positif boleh dilakukan jika kita membebaskan minda kita daripada perkara-perkara yang rumit.

Melihat sesuatu perkara dalam bentuk yang mudah, menggembirakan dan menyenangkan.

Dalam proses tersebut kita mungkin perlu melakukan pelbagai tindakan yang tegas dan berdisiplin. Antaranya adalah seperti berikut:

1. Tugas utama sebagai pelajar ialah menentukan keputusan yang cemerlang dalam akademik di samping pembangunan diri. Jangan campuradukkan dengan pelbagai perkara yang boleh membawa kepada emosi yang tidak stabil.

2. Rakan yang bersikap negatif. Terdapat dua kemungkinan, sama ada anda dapat mempengaruhi atau anda dipengaruhi oleh mereka. Ada masanya kita perlu menghapuskan perhubungan seumpama ini bagi menjaga sikap positif yang ada pada diri kita.

3. Memastikan keseimbangan antara keperluan rohani dan jasmani. Jangan jadi ulat buku tanpa mengambil kira aspek-aspek lain. Penumpuan pada satu perkara boleh menimbulkan ketegangan mental dan fizikal. Yang lebih penting ialah sikap bersederhana dalam setiap tindakan.

Mengekalkan sikap positif merupakan aspek yang paling penting. Kita mungkin menjadi kecewa apabila rakan-rakan kita bersikap tidak menyokong dalam pergaulan sehari-hari.

Mungkin anda pernah dicop dengan pelbagai label, seperti, sebagai pelajar yang antisosial, `mat belia' atau `tidak rugged' atau mungkin dituduh sebagai pelajar yang kuat mengampu guru atau pensyarah.

Anda tidak perlu melawan atau membalas kalau dilabelkan dengan label yang bersifat negatif. Mungkin cara yang terbaik ialah dengan mencampakkan sikap positif anda kepada mereka.

Sikap yang bersahaja, melihat kata-kata negatif sebagai gurauan dan terus mendampingi mereka sehingga pada satu tahap tertentu memungkinkan mereka untuk berubah.

Banyak kejadian manusia boleh berubah apabila mereka mengenali kita secara lebih dekat.

Kata orang - tak kenal maka tak cinta.

Orang yang bersikap positif biasanya mempunyai lebih ramai kenalan, berbudi bahasa dan dapat melihat kejadian dalam bentuk yang luas dan berbeza. Rakan-rakan kita tentu sekali akan berasa iri hati dengan ketenangan, kesabaran dan kepintaran kita apabila berhadapan dengan sebarang masalah.

Kredit : ADAP

Tip Peperiksaan 1


PELAJAR cemerlang tidak mudah kecewa atau mengaku kalah. - Gambar hiasan

TERDAPAT beberapa amalan yang boleh dilakukan oleh pelajar untuk meningkatkan disiplin diri dalam mencapai kecemerlangan. Yang penting ialah pelajar perlu mempunyai tahap kecekalan, kesabaran dan komitmen yang tinggi. Tanamkan azam secukupnya dan lakukan perkara-perkara yang berikut:

1. Tentukan matlamat kerja dengan jelas dan `hiduplah' dengannya

Anda perlu menetapkan apakah kebolehan atau matlamat yang anda harapkan daripada sesuatu usaha yang sedang atau akan anda lakukan. Sebagai contoh, anda hendak meningkatkan keupayaan anda menulis karangan sepanjang 350 patah perkataan dalam setengah jam. Jadi, jangan berpeluk tubuh dan berlengah-lengah. Latih diri anda secukupnya supaya matlamat andaitu tercapai sebelum peperiksaan.

2. Menyediakan jadual harian yang praktikal dan mudah diikuti

Jadual yang anda sediakan mesti praktikal dan secocok dengan gaya hidup anda. Kemudian berikrarlah di depan jadual anda, dan pada diri sendiri bahawa anda akan patuh kepada jadual yang anda buat sendiri.

Jadual yang baik sebenarnya adalah bersifat anjal. Anjal bermakna, anda boleh mengubahsuainya, tetapi masih patuh kepada disiplin hidup berjadual. Anda mesti berazam memperbaharui tekad anda untuk menjadi manusia yang berguna setiap hari, setiap kali bangun daripada tidur.

3. Bertekad dan sabar

Pastikan apabila kita membuat sesuatu kerja, selesaikan. Bukan sekerat jalan sahaja.

4. Pengurusan masa

Menguruskan masa merupakan tugasan yang sukar dan mencabar, tetapi boleh dilakukan. Gunakanlah masa yang ada untuk melakukan kerja yang berfaedah. Jangan bertangguh. Tetapkan keutamaan tugasan, serta waktu yang paling sesuai untuk membuat sesuatu tugasan.

5. Istiqamah dengan jadual harian

Peganglah janji anda selepas berikrar untuk mematuhi jadual harian yang anda rancang.

6. Tidak mudah kecewa

Jangan seret kekecewaan atau kegagalan silam sehingga menyukarkan perjalanan menuju kejayaan. Yang sudah biarkanlah ia berlalu.

7. Belajar daripada kejayaan dan kegagalan orang lain

Pepatah Melayu ada menyebut, yang baik dijadikan tauladan, yang buruk dijadikan sempadan.

8. Berdoa

Selepas berusaha habis-habisan, kita bertawakal dan berserah kepada Allah s.w.t. Semoga usaha kita diberkati. Amalkan beberapa doa kejayaan.

9. Mementingkan kesenangan jangka panjang

Pelajar yang matang fikirannya akan memikirkan keuntungan jangka panjang. Abaikan dahulu keseronokan jangka pendek yang boleh menyebabkan kita menangis dan meratap kerana gagal dalam hidup.

10. Memikirkan pengorbanan keluarga

Ingatlah setiap sen yang dibekalkan oleh ibu atau bapa setiap pagi sebelum ke sekolah. setiap suap makanan yang kita jamah akan menjadi darah daging kita. Darah daging kita adalah hasil penat lelah ibu bapa kita. berilah mereka sedikit kegembiraan dengan lulus dalam peperiksaan.

11. Mencari rakan berdisiplin

Bijak mencari rakan adalah penting. Jangan sehingga kita diheret kekancah kegagalan oleh kawan-kawan yang tidak memikirkan masa depannya. Andak mungkin ketawa beramai-ramai, tetapi menangis seorang diri.

12. Sedikit tetapi berterusan

Biarlah hari ini anda hanya menjawab satu soalan, tetapi anda benar-benar faham danmenguasai soalan berkenaan. Fikirkan kualiti, bukan kuantiti.

Kredit : ADAP

Tuesday, July 5, 2011

LARIAN 1M1S

Larian 1 Murid 1 Sukan 1 Malaysia diadakan serentak seluruh negara. Di SMK Jengka 10 ianya bermula seawal jam 7.15 lagi. Dimulai dengan senamrobik sebelum pelajar dan guru berlari sejauh 2.5 km sekitar perkampungan Jengka 10.


Friday, July 1, 2011

Hari Kokuria 3

Para Hakim memasak sedang memberi komen dan nasihat sambil berkenyang-kenyangan.


Gerai Jualan pun ada. Umak aii.... ice blendded lagi.

Pertandingan Gubahan Penganting. Aik Encik Peko pun masuk juga. Memasak tadi pun masuk jugak.