![]() TEKNIK membaca yang betul perlu diamalkan untuk semua medium, bentuk atau sumber bahan bacaan. - Gambar hiasan MEMBACA untuk pembelajaran tidak sama dengan membaca untuk hobi atau mengisi masa lapang. Pembacaan untuk pembelajaran memerlukan pembacaan yang aktif. Untuk memudahkan pemahaman, bukan sekadar membca teks tetapi baca semuanya - graf, jadual atau apa-apa gambaran yang disertakan. Selain itu, membaca buku bahasa kedua seperti bahasa Inggeris memang agak membosankan terutama jika pelajar tidak mahir bahasa tersebut. Oleh itu, syarat utama untuk memahami buku bahasa asing ialah kamus yang baik. Namun tidak bermakna dengan memiliki kamus yang baik, pembelajaran akan menjadi mudah. Seringkali tumpuan pelajar terjejas oleh gangguan-gangguan seperti mencari makna sesuatu perkataan. Berkali-kali melihat kamus, boleh menjejaskan pemahaman asal dan menyebabkan fikiran cepat bosan serta letih. Bagi mengatasinya, pelajar harus mengurangkan seminimum mungkin proses mencari makna perkataan yang tidak difahaminya. Sebelum membaca sesuatu tajuk yang ditulis dalam bahasa asing, semak terlebih dahulu dengan membacanya secara pantas. Catatkan perkataan itu untuk tujuan rujukan dan sediakan satu set catatan yang khusus bagi sesuatu buku yang dibaca. Teknik membaca yang menjimatkan masa 1. Baca dengan mata, bukan dengan mulut. Membaca dengan mulut (terkumat-kamit ketika membaca) hanya melambatkan pembacaan kerana pergerakan mata lebih pantas daripada mulut. Begitu juga membaca dengan menggerakkan jari telunjuk turut melambatkan proses pembacaan. 2. Elakkan berjalan atau mundar-mandir ketika membaca. Elakkan diri daripada mengulangi ayat yang sudah dibaca. Ini dapat dibiasakan dengan kerap membuat latihan tetapi masih mengekalkan daya penangkapan maklumat dari bahan yang dibaca. 3. Baca sesuatu tajuk sehingga habis. Mulakan pembacaan sesuatu topik dari awal untuk memudahkan pemahaman dan tidak perlu mengulang pembacaan jika berhenti pada pertengahan tajuk. Ingat kembali 1. Cara mengingat kembali boleh dilakukan secara lisan, dalam hati atau menulis fakta di atas kertas. 2. Proses ingat kembali lebih menguntungkan kerana menjimatkan masa dan tidak perlu mengambil masa banyak untuk mengulangkaji. 3. Pelajar tahu apa yang sukar diingati, terlupa ataupun salah, jadi ia akan menumpukan lebih perhatian kepada bahan ini dalam proses ingat kembali. Lihat semula 1. Lihat semula adalah proses untuk mengetahui apa yang telah dibaca. 2. Belajar secara bersendirian sebenarnya memerlukan masa yang lebih. 3. Selain pembahagian waktu teratur, pelajar perlu ada tatatertib sendiri - hapuskan sikap acuh tak acuh, menangguh-nangguhkan belajar atau malas. 4. Belajar di tempat yang menggalakkan pembelajaran. Ujian sendiri 1. Ujian dapat mengenalpasti tahap pemahaman. 2. Untuk menguji ingatan, tutup buku dan tulis semula apa yang diingati. 3. Uji juga kefahaman konsep serta penggunaannya, dengan menjawab soalan lalu. |
Blog Ini Hanya Memaparkan Laporan Aktiviti SMK Jengka 10 DanPerkara Yang Berkaitan Dengan PendidikanSahaja. Editor Tidak Bertanggungjawab Terhadap Sebarang Salah Laku Dalam Blog Ini.
SELAMAT DATANG
PAPAN KENYATAAN
TARIKH PEPERIKSAAN
Wednesday, July 20, 2011
Tip Peperiksaan 10
Tip Peperiksaan 9
Tabah terhadap segala dugaan, syukuri nikmat lambang ketinggian iman umat IMAN terbahagi kepada dua bahagian. Satu bahagian dinamakan kesabaran dan satu bahagian lagi dinamakan kesyukuran. Kedua-duanya adalah sifat Allah dan di antara dua nama-Nya yang mulia kerana Allah sendiri menamakan diriNya dengan Sabbur dan Syakur. Jika seseorang itu jahil daripada memahami erti kesabaran dan kesyukuran, samalah dengan tidak memahami erti kedua bahagian iman itu sendiri. Dengan demikian, samalah ia lupa kepada sifat Allah sedangkan untuk mendekatkan diri kepada Allah tidak tercapai melainkan dengan iman. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah al-Nahl, ayat 96) Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya hanya orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahala mereka tanpa batas.” (Surah al-Zumar, ayat 10) Dalam konteks ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sabar itu separuh iman.” (Hadis Riwayat Abu Na'im daripada Ibn Mas'ud) Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Dalam kesabaran terhadap perkara yang tidak disukai itu banyak kebaikannya.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi daripada Ibn Abbas) Perkataan sabar disebut enam belas bentuk dalam al-Quran, iaitu perintah supaya bersabar (merujuk ayat 35 surah al-Baqarah, surah al-Imran (ayat 200), sementara larangan daripada bersikap sebaliknya pada ayat 35, surah al-Ahqaf dan surah al-Anfal, ayat 15. Allah memuji orang yang sabar (surah Ali-Imran, ayat 17 dan al-Baqarah, ayat 177) sementara Allah kasih kepada orang yang sabar melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 146. Kesabaran lain yang dijelaskan dalam al-Quran ialah Allah bersama orang yang sabar, kebaikan bagi mereka yang sabar, balasan amal yang paling baik, berita gembira kepada orang sabar, jaminan kemenangan bagi orang yang sabar dan balasan Allah tanpa batas kepada orang yang sabar. Selain itu, orang yang sabar adalah mereka yang kuat semangat dan azam, amalan salih yang besar balasannya adalah sabar, orang yang sabar mereka yang mengambil manfaat daripada ayat Allah, Ibrahim, kejayaan yang diingini dicapai oleh orang yang sabar, orang sabar boleh menjadi pemimpin dan mempunyai kedudukan tinggi dalam tingkatan iman dan Islam, seterusnya takwa dan tawakal. Sabar terbahagi kepada tiga bentuk iaitu sabar dalam mentaati Allah, sabar daripada melakukan maksiat kepada Allah dan sabar menghadapi ujian Allah. Patut diingat bahawa mengadu dan merayu kepada Allah tidak menafikan sifat sabar. Ini seperti mana berlaku kepada Nabi Ya'kub ketika baginda berkata: “Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku,” (Surah Yusuf, ayat 86). Adapun yang menafikan sifat sabar adalah merungut terhadap Allah, manakala bersabar terhadap ujian Allah seperti menghadapi bencana alam seumpama banjir besar, gempa bumi, sakit dan lain sebagainya, mangsa perlu menghadapinya dengan mengharapkan balasan sebaiknya daripada Allah. Mangsa juga perlu mengharapkan penyelesaiannya daripada Allah dan ketiga menganggap ringan ujian itu dengan cara mengingati segala nikmat yang dikurniakan Allah selama ini. Dengan demikian akan terasa bahawa ujian itu bagaikan setitik air daripada luasnya laut. Tanpa senjata sabar dalam perjalanan hidup ini, kehidupan seseorang tidak akan tenang dan damai kerana jalan hidup tidak selalunya mendatar, ada kalanya mendaki dan kadang-kadang jatuh. Kredit : ADAP |
Tip Peperiksaan 8
RAMAI murid yang berasa tertekan apabila menerima sesuatu tugasan daripada guru masing-masing. Mereka menganggap tugasan itu sebagai satu bebanan yang akan mengganggu masa belajar dan jadual ulang kaji yang telah ditetapkan. Tugasan sekolah - ada yang menamakannya sebagai kerja sekolah atau kerja rumah - adalah salah satu bentuk penilaian formatif yang bertujuan mengukur sejauh mana pemahaman murid terhadap topik yang diajar oleh guru. Ia juga merupakan satu kesinambungan pengajaran guru di sekolah dengan pembelajaran murid di rumah. Kebiasaannya tugasan ini lebih mirip kepada soalan pendek atau pencarian maklumat dalam proses penyelesaian masalah yang dipelajari pada ketika itu. Dalam hal ini tugasan sekolah harus dilaksanakan tanpa bertangguh-tangguh kerana ia merupakan salah satu strategi mengulang kaji topik pelajaran harian sebelum melangkah ke topik yang lain. Kegagalan memahami topik tersebut akan menjejas pula kepada pemahaman topik yang berikutnya. Jika keadaan ini berlaku secara berterusan maka berkemungkinan besar murid-murid akan menjadi hilang tumpuan dan ketinggalan ketika belajar kerana tidak dapat memahami apa yang diajar oleh guru. Justeru, beberapa langkah berikut harus dibuat untuk memastikan tugasan dapat dibereskan dengan sempurna dan berkesan.
Ia tidak boleh disalin secara terus sebagai jawapan. Murid-murid harus berfikir dengan cara menggabung dan menganalisis perkaitan antara maklumat-maklumat tersebut sama ada dalam bentuk teks, gambar, carta ataupun lakaran grafik untuk disesuaikan dengan kehendak soalan dan kemudiannya barulah ditulis jawapannya.
Semoga segala tugasan yang diberikan oleh guru mampu memantapkan lagi pemahaman murid terhadap pelajaran harian serta beroleh kejayaan. Kredit : ADAP |
Tip Peperiksaan 7
SERING kali murid-murid tidak dapat fokus di dalam bilik darjah ketika guru sedang mengajar. Keadan menjadi lebih teruk apabila terdapat segelintir murid yang membuat bising atau mengganggu rakan lain. Hal ini menyebabkan guru terpaksa mententeramkan keadaan sehingga boleh mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Situasi seperti ini merugikan semua pihak. Berikut ialah beberapa kaedah agar murid sentiasa fokus ketika belajar.
Proses belajar banyak bergantung pada disiplin diri. Guru boleh memberi bimbingan dan tunjuk ajar tetapi murid sendiri harus berperanan untuk memanfaatkanya sebaik mungkin. Kredit : ADAP |
Tip Peperiksaan 6
![]() UNTUK cemerlang dalam peperiksaan, jangan belajar mengikut mood tetapi secara sistematik berdasarkan jadual yang ditetapkan. – Gambar hiasan SANTAPAN MINDA Oleh Dr. Ismail Zain RATA-RATA murid yang ditemui menyatakan masalah besar yang mereka hadapi ialah tiada “mood” untuk belajar. Gejala ini menyebabkan mereka kerap berasa mengantuk, kurang bertenaga, malas, tidak berkeyakinan dan selalu sahaja dalam keadaan bimbang. Sebenarnya, itulah kesan dan ciri-ciri murid yang tiada “mood” untuk belajar. “Mood” boleh diterjemahkan sebagai keinginan yang berkaitan rapat dengan keperibadian yang melibatkan gaya hidup seseorang individu. Ia meliputi pelbagai aspek kehidupan yang secara langsung atau tidak langsung mempengaruhi jiwa, pemikiran dan tindakan seseorang itu. Antara faktor luaran dan dalaman yang mempengaruhi mood seseorang ialah seperti berikut:-
Tiada mood untuk belajar juga dapat diatasi jika anda sentiasa aktif mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti sama ada aktiviti kurikulum atau kokurikulum kerana aktiviti-aktiviti ini mampu memberi keseronokan diri. Keseronokan ini mampu menghilangkan rasa letih dan bimbang, malah ia akan memberi tenaga untuk terus belajar tanpa rasa jemu Kredit : ADAP |
Tip Peperiksaan 5
![]() OTOT-OTOT mata menjadi letih kerana terlalu memberi tumpuan kepada huruf-huruf atau formula-formula fizik atau matematik yang bersaiz font 12 atau kurang. Sebab itulah ramai pelajar yang apabila mahu belajar terasa mengantuk. Ada pula yang tak sampai 10 minit berada depan buku mata terasa berat. Apabila mata terlalu mengantuk kita akan menjadi hilang tumpuan. Akibatnya, tumpuan kita tersasar. Ini cukup merugikan masa. Kenapa mengantuk? Kenapa ketika bermain atau menonton televisyen mata kita tidak mengantuk? 1. Tidak cukup tidur. Ini memanglah punca utama ramai pelajar mengantuk ketika guru mengajar di sekolah. Ada sesetengah pelajar yang tidur lewat malam sehingga pukul 1 pagi. Sedangkan esok hari persekolahan dan terpaksa bangun awal. Ada yang tidur lewat kerana menelaah pelajaran. Ada pula pelajar yang tidur lewat kerana membuang masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah seperti mendengar radio dan bersembang maya di Internet sehingga pagi. Kalaulah ini masalah anda maka nyatalah yang anda belum menetapkan matlamat dalam hidup anda. Pelajar yang bermatlamat tidak buang masa dengan urusan yang sia-sia. Kalau anda tidur lewat kerana mengulangkaji pelajaran maka anda juga perlu ubah tabiat buruk ini. Ingat pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang belajar pintar bukan semata-mata kuat belajar. 2. Tidur yang berlebih-lebihan. Tidur yang terlalu lama dan kerap juga menjadikan anda mengantuk. Tidur yang mencukupi ialah sebanyak 6-8 jam sehari. Pastikan anda tidak tidur lebih dari tempoh waktu ini. 3. Makan terlalu banyak. Ini juga merupakan satu tabiat buruk. Apabila anda kuat makan maka perut anda terpaksa bekerja kuat memproses makanan tersebut. Proses ini memerlukan banyak oksigen dan mengerah banyak tenaga. Ini membuatkan anda akan mudah mengantuk waktu dalam kelas dan ketika mengulangkaji. 4. Badan terlalu letih. Ada ketikanya anda mengantuk disebabkan badan anda terlalu letih dengan aktiviti sepanjang hari. Kalau anda ada masalah mengantuk cuba senaraikan semua aktiviti luar anda. Ada ketikanya anda bersukan atau beriadah secara keterlaluan. Bermain bola pada waktu petang secara berlebih-lebihan. Berbasikal keliling kampung berjam-jam. Semua aktiviti ini memerah keringat dan membuatkan anda keletihan. Beriadah dan senaman memang baik untuk kesihatan tetapi tujuannya kena betul. Perbaiki matlamat anda beriadah. Anda beriadah untuk membolehkan anda segar pada waktu malamnya bagi menelaah pelajaran. 20 - 30 minit sehari adalah mencukupi. Ada pula sesetengah pelajar keletihan disebabkan aktiviti ko-kurikulum yang berlebih-lebihan. Anda tidak perlu terlalu aktif dalam kegiatan ko-kurikulum hinggakan tiada masa untuk mengulangkaji dan sehingga memenatkan badan. Terlibat secara ala kadar. Pilih aktiviti yang paling anda minati. Tidak ada gunanya kegiatan ko-kurikulum anda cemerlang sedangkan SPM anda kecundang. Tidak ada gunanya menjadi olahragawan/olahragawati sekolah tapi akhirnya bekerja hanya sebagai budak kilang. Oleh itu pastikan kegiatan harian anda seimbang antara pencapaian akademik dan penglibatan ko-kurikulum. Pastikan anda tidak kesuntukan masa. Pastikan anda tetap segar dan tidak mengantuk pada malamnya. 5. Tiada minat belajar. Masalah ini sering dijadikan alasan oleh ramai pelajar. Sebelum kita pergi lebih jauh cuba fikirkan sejenak antara MINAT dengan BELAJAR manakah yang wujud terlebih dahulu? Minat tidak tercetus dengan sendirinya dalam diri anda. Ia sesuatu yang wujud disebabkan pengaruh-pengaruh tertentu seperti guru yang baik, penguasaan pelajaran yang sempurna, markah yang tinggi dan sebagainya. Pernahkah anda dengar adanya pelajar yang dapat markah 90% dalam sejarah berkata yang dia tak minat sejarah? Tentulah tidak. Oleh itu minat timbulnya apabila anda lihat dalam diri anda ada potensi untuk pergi lebih jauh. Minat mula timbul apabila anda dapat rasakan yang anda mula menguasai sesuatu mata pelajaran. Oleh itu yang perlu anda perbaiki ialah cara belajar anda dan kegigihan anda sendiri. Anda perlu mempunyai kemahiran belajar yang tinggi agar mudah menguasai setiap perkara baru yang dipelajari. Kredit : ADAP |
Tip Peperiksaan 4
Berikut adalah beberapa saranan apabila anda membaca buku-buku pelajaran: 1. Lihat seimbas kesemua muka surat yang anda akan baca. Dapatkan rangka kasar tentang teks yang bakal anda baca. Dapatkan satu gambaran yang menyeluruh terlebih dahulu. Perhatikan perkara-perkara yang berikut: * Tajuk-tajuk kecil - dapatkan perkaitan antara satu tajuk dengan tajuk yang lain. * Rajah-rajah * Jadual * Carta * Peta 2. Baca perenggan bahagian pendahuluannya. 3. Baca perenggan bahagian penutup atau kesimpulannya. 4. Yang terakhir barulah baca ayat demi ayat dan perenggan demi perenggan secara terperinci. Membaca hanya satu hala. Ramai pelajar yang membaca dan mengharapkan 'input' semata-mata. Mereka mengharapkan melalui pembacaan setiap maklumat disuap dari buku ke dalam minda. Proses membaca begini ialah proses sehala dan ia cukup menjemukan dan membosankan. Anda perlu berinteraksi secara interaktif antara anda dan buku yang dibaca. Untuk menjadikan proses membaca lebih bersifat dua hala anda perlu lakukan perkara yang berikut: Dapatkan 10 - 20 soalan berkaitan tajuk yang mahu anda baca sebelum anda membaca teksnya. Fahami kehendak soalan ini. Apabila anda membaca kelak anda pasti menemui jawapan kepada soalan dan ini pasti meningkatkan tumpuan dan minat anda. Sentiasa tanya diri anda sebarang soalan yang bermula dengan Apa? Siapa? Bila? Di mana? Berapa? Kenapa? dan Bagaimana? Ini membuatkan anda sentiasa mencari maklumat bukan sekadar mengharapkan maklumat itu tersedia untuk anda. Selepas satu perenggan atau satu muka surat, berhenti sejenak. Tanya diri anda sekali lagi tentang apa yang telah anda ketahui sebentar tadi. Cuba lakar pada sehelai kertas rajah atau fakta-fakta penting yang anda ketahui. CUba ceritakan semula pada diri anda apa yang telah anda baca. Ceritakan dalam suara yang boleh didengar oleh telinga anda sendiri. Dengan cara ini anda menggunakan bahagian otak yang lain untuk memproses maklumat. Buat nota ringkas. Jangan sekadar membaca sahaja. Cuba kenal pasti kata kunci (lihat artikel terdahulu) dan ringkaskan setiap fakta penting ke dalam bentuk nota ringkas. Dengan melibatkan lebih banyak deria dalam satu-satu proses membaca membuatkan anda rasa seronok. Dengan membuat nota ringkas anda sebenarnya menggunakan bahagian kinestatik diri anda. Kalau sekadar membaca sahaja tanpa sebarang penghasilan nota anda cuma gunakan bahagian visual dan auditori semata-mata. Penglibatan bahagian kinestatik penting kerana ia mengukuhkan lagi ingatan anda terhadap apa yang anda pelajari. ![]() ULANG kaji secara sistematik pasti menghasilkan keputusan yang cemerlang. - gambar hiasan. |
Subscribe to:
Posts (Atom)