Blog Ini Hanya Memaparkan Laporan Aktiviti SMK Jengka 10 DanPerkara Yang Berkaitan Dengan PendidikanSahaja. Editor Tidak Bertanggungjawab Terhadap Sebarang Salah Laku Dalam Blog Ini.

SELAMAT DATANG

PAPAN KENYATAAN

TARIKH PEPERIKSAAN

Wednesday, July 20, 2011

Tip Peperiksaan 10


TEKNIK membaca yang betul perlu diamalkan untuk semua medium, bentuk atau sumber bahan bacaan. - Gambar hiasan



MEMBACA untuk pembelajaran tidak sama dengan membaca untuk hobi atau mengisi masa lapang. Pembacaan untuk pembelajaran memerlukan pembacaan yang aktif.
Untuk memudahkan pemahaman, bukan sekadar membca teks tetapi baca semuanya - graf, jadual atau apa-apa gambaran yang disertakan. 
Selain itu, membaca buku bahasa kedua seperti bahasa Inggeris memang agak membosankan terutama jika pelajar tidak mahir bahasa tersebut. Oleh itu, syarat utama untuk memahami buku bahasa asing ialah kamus yang baik. Namun tidak bermakna dengan memiliki kamus yang baik, pembelajaran akan menjadi mudah.
Seringkali tumpuan pelajar terjejas oleh gangguan-gangguan seperti mencari makna sesuatu perkataan.
Berkali-kali melihat kamus, boleh menjejaskan pemahaman asal dan menyebabkan fikiran cepat bosan serta letih.
Bagi mengatasinya, pelajar harus mengurangkan seminimum mungkin proses mencari makna perkataan yang tidak difahaminya.
Sebelum membaca sesuatu tajuk yang ditulis dalam bahasa asing, semak terlebih dahulu dengan membacanya secara pantas.
Catatkan perkataan itu untuk tujuan rujukan dan sediakan satu set catatan yang khusus bagi sesuatu buku yang dibaca.


Teknik membaca yang menjimatkan masa
1. Baca dengan mata, bukan dengan mulut. 
Membaca dengan mulut (terkumat-kamit ketika membaca) hanya melambatkan pembacaan kerana pergerakan mata lebih pantas daripada mulut. 
Begitu juga membaca dengan menggerakkan jari telunjuk turut melambatkan proses pembacaan.


2. Elakkan berjalan atau mundar-mandir ketika membaca. Elakkan diri daripada mengulangi ayat yang sudah dibaca.
Ini dapat dibiasakan dengan kerap membuat latihan tetapi masih mengekalkan daya penangkapan maklumat dari bahan yang dibaca.
3. Baca sesuatu tajuk sehingga habis. Mulakan pembacaan sesuatu topik dari awal untuk memudahkan pemahaman dan tidak perlu mengulang pembacaan jika berhenti pada pertengahan tajuk.


Ingat kembali
1. Cara mengingat kembali boleh dilakukan secara lisan, dalam hati atau menulis fakta di atas kertas.
2. Proses ingat kembali lebih menguntungkan kerana menjimatkan masa dan tidak perlu mengambil masa banyak untuk mengulangkaji.
3. Pelajar tahu apa yang sukar diingati, terlupa ataupun salah, jadi ia akan menumpukan lebih perhatian kepada bahan ini dalam proses ingat kembali.


Lihat semula
1. Lihat semula adalah proses untuk mengetahui apa yang telah dibaca.
2. Belajar secara bersendirian sebenarnya memerlukan masa yang lebih.
3. Selain pembahagian waktu teratur, pelajar perlu ada tatatertib sendiri - hapuskan sikap acuh tak acuh, menangguh-nangguhkan belajar atau malas.
4. Belajar di tempat yang menggalakkan pembelajaran.


Ujian sendiri
1. Ujian dapat mengenalpasti tahap pemahaman.
2. Untuk menguji ingatan, tutup buku dan tulis semula apa yang diingati.
3. Uji juga kefahaman konsep serta penggunaannya, dengan menjawab soalan lalu.
Kredit : ADAP

Tip Peperiksaan 9


Tabah terhadap segala dugaan, syukuri nikmat lambang ketinggian iman umat 

IMAN terbahagi kepada dua bahagian. Satu bahagian dinamakan kesabaran dan satu bahagian lagi dinamakan kesyukuran. Kedua-duanya adalah sifat Allah dan di antara dua nama-Nya yang mulia kerana Allah sendiri menamakan diriNya dengan Sabbur dan Syakur. 

Jika seseorang itu jahil daripada memahami erti kesabaran dan kesyukuran, samalah dengan tidak memahami erti kedua bahagian iman itu sendiri. Dengan demikian, samalah ia lupa kepada sifat Allah sedangkan untuk mendekatkan diri kepada Allah tidak tercapai melainkan dengan iman. 

Allah berfirman yang bermaksud: 

“Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah al-Nahl, ayat 96) 

Firman-Nya lagi yang bermaksud: 

“Sesungguhnya hanya orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahala mereka tanpa batas.” (Surah al-Zumar, ayat 10) 
Dalam konteks ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

“Sabar itu separuh iman.” (Hadis Riwayat Abu Na'im daripada Ibn Mas'ud) 

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: 

“Dalam kesabaran terhadap perkara yang tidak disukai itu banyak kebaikannya.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi daripada Ibn Abbas) 
Perkataan sabar disebut enam belas bentuk dalam al-Quran, iaitu perintah supaya bersabar (merujuk ayat 35 surah al-Baqarah, surah al-Imran (ayat 200), sementara larangan daripada bersikap sebaliknya pada ayat 35, surah al-Ahqaf dan surah al-Anfal, ayat 15. 
Allah memuji orang yang sabar (surah Ali-Imran, ayat 17 dan al-Baqarah, ayat 177) sementara Allah kasih kepada orang yang sabar melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 146. 

Kesabaran lain yang dijelaskan dalam al-Quran ialah Allah bersama orang yang sabar, kebaikan bagi mereka yang sabar, balasan amal yang paling baik, berita gembira kepada orang sabar, jaminan kemenangan bagi orang yang sabar dan balasan Allah tanpa batas kepada orang yang sabar. 

Selain itu, orang yang sabar adalah mereka yang kuat semangat dan azam, amalan salih yang besar balasannya adalah sabar, orang yang sabar mereka yang mengambil manfaat daripada ayat Allah, Ibrahim, kejayaan yang diingini dicapai oleh orang yang sabar, orang sabar boleh menjadi pemimpin dan mempunyai kedudukan tinggi dalam tingkatan iman dan Islam, seterusnya takwa dan tawakal. 
Sabar terbahagi kepada tiga bentuk iaitu sabar dalam mentaati Allah, sabar daripada melakukan maksiat kepada Allah dan sabar menghadapi ujian Allah. Patut diingat bahawa mengadu dan merayu kepada Allah tidak menafikan sifat sabar. 
Ini seperti mana berlaku kepada Nabi Ya'kub ketika baginda berkata: 

“Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku,” (Surah Yusuf, ayat 86). 
Adapun yang menafikan sifat sabar adalah merungut terhadap Allah, manakala bersabar terhadap ujian Allah seperti menghadapi bencana alam seumpama banjir besar, gempa bumi, sakit dan lain sebagainya, mangsa perlu menghadapinya dengan mengharapkan balasan sebaiknya daripada Allah. 

Mangsa juga perlu mengharapkan penyelesaiannya daripada Allah dan ketiga menganggap ringan ujian itu dengan cara mengingati segala nikmat yang dikurniakan Allah selama ini. Dengan demikian akan terasa bahawa ujian itu bagaikan setitik air daripada luasnya laut. 
Tanpa senjata sabar dalam perjalanan hidup ini, kehidupan seseorang tidak akan tenang dan damai kerana jalan hidup tidak selalunya mendatar, ada kalanya mendaki dan kadang-kadang jatuh. 
Kredit : ADAP 

Tip Peperiksaan 8



RAMAI murid yang berasa tertekan apabila menerima sesuatu tugasan daripada guru masing-masing. Mereka menganggap tugasan itu sebagai satu bebanan yang akan mengganggu masa belajar dan jadual ulang kaji yang telah ditetapkan.
Tugasan sekolah - ada yang menamakannya sebagai kerja sekolah atau kerja rumah - adalah salah satu bentuk penilaian formatif yang bertujuan mengukur sejauh mana pemahaman murid terhadap topik yang diajar oleh guru.
Ia juga merupakan satu kesinambungan pengajaran guru di sekolah dengan pembelajaran murid di rumah. Kebiasaannya tugasan ini lebih mirip kepada soalan pendek atau pencarian maklumat dalam proses penyelesaian masalah yang dipelajari pada ketika itu.
Dalam hal ini tugasan sekolah harus dilaksanakan tanpa bertangguh-tangguh kerana ia merupakan salah satu strategi mengulang kaji topik pelajaran harian sebelum melangkah ke topik yang lain.
Kegagalan memahami topik tersebut akan menjejas pula kepada pemahaman topik yang berikutnya.
Jika keadaan ini berlaku secara berterusan maka berkemungkinan besar murid-murid akan menjadi hilang tumpuan dan ketinggalan ketika belajar kerana tidak dapat memahami apa yang diajar oleh guru.
Justeru, beberapa langkah berikut harus dibuat untuk memastikan tugasan dapat dibereskan dengan sempurna dan berkesan.
  • Merujuk bahan pelajaran
    Kebiasaannya tugasan yang diberikan oleh guru di sepanjang pengajaran merupakan tugasan yang berkaitan rapat dengan pengajaran yang diajar pada ketika itu. Oleh itu pastikan murid-murid merujuk dahulu nota, buku teks atau mendapat maklumat dengan melayari laman sesawang yang tertentu sebelum membuat tugasan tersebut.
  • Memahami soalan tugasan 
    Apabila maklumat telah terkumpul, cuba fahami apakah kehendak soalan tersebut. Hanya maklumat yang berkaitan dengan kehendak soalan itu sahaja yang perlu digunakan.
  • Berfikir secara kritis dan kreatifDalam sistem pendidikan masa kini murid-murid digalakkan berfikir secara kritis dan kreatif. Hal ini bermakna setiap maklumat yang diterima harus dikaji dahulu.
Ia tidak boleh disalin secara terus sebagai jawapan. Murid-murid harus berfikir dengan cara menggabung dan menganalisis perkaitan antara maklumat-maklumat tersebut sama ada dalam bentuk teks, gambar, carta ataupun lakaran grafik untuk disesuaikan dengan kehendak soalan dan kemudiannya barulah ditulis jawapannya.
  • Berbincang dengan rakanJika terdapat keraguan atau kekeliruan dalam memahami soalan atau maklumat yang diterima, maka murid-murid haruslah berbincang dengan rakan-rakan. Jangan sekali-kali meniru rakan dengan hanya menyalin jawapannya tanpa memahami isi kandunganya. Perbuatan ini salah dari segi etika dan peraturan sekolah yang akhirnya merugikan diri sendiri.
  • Komitmen yang sepenuhnyaAda juga murid-murid yang membuat tugasan sekolah seperti melepas batuk di tangga sahaja iaitu tidak melakukannya secara serius atau tanpa komitmen yang sepenuhnya. Oleh itu tangani sikap buruk ini dan mulakan tugasan dengan sepenuh perhatian serta secara ikhlas tanpa dipaksa oleh sesiapa.
  • Pengurusan masaSeperti yang dinyatakan melakukan tugasan sekolah sama seperti mengulang kaji pelajaran. Oleh itu pastikan murid-murid menetapkan waktu membuat tugasan sekolah setiap hari dalam jadual pengurusan masa harian.
Semoga segala tugasan yang diberikan oleh guru mampu memantapkan lagi pemahaman murid terhadap pelajaran harian serta beroleh kejayaan.
Kredit : ADAP

Tip Peperiksaan 7


SERING kali murid-murid tidak dapat fokus di dalam bilik darjah ketika guru sedang mengajar. Keadan menjadi lebih teruk apabila terdapat segelintir murid yang membuat bising atau mengganggu rakan lain.
Hal ini menyebabkan guru terpaksa mententeramkan keadaan sehingga boleh mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Situasi seperti ini merugikan semua pihak.
Berikut ialah beberapa kaedah agar murid sentiasa fokus ketika belajar.
  • Kesediaan kelas Murid yang bertugas haruslah bertanggungjawab untuk memastikan kelas berada dalam keadaan yang sudah bersedia untuk dimulakan pengajaran. Contohnya papan putih harus dibersihkan, pasang peralatan dengan sempurna seperti LCD projektor jika hendak digunakan atau sediakan bahan yang perlu dibawa sepertimana yang diarahkan oleh guru. Perkara ini harus diberi perhatian kerana ia boleh mengganggu pengajaran guru serta membazir masa.
  • Kedudukan murid Kedudukan murid amatlah penting agar segala pengajaran dapat diikuti dengan jelas. Bagi mereka yang rabun penglihatan harus berada di barisan yang mampu memberi kejelasan imej dan teks yang terpapar di papan putih atau di skrin. Kegagalan melakukannya akan menyebabkan anda merasa resah yang akhirnya menyebabkan anda kehilangan fokus.
  • Komunikasi Sememangnya anda digalakkan berkomunikasi iaitu berinteraksi antara semua rakan atau dengan guru. Interaksi ini harus dilakukan secara berhemah dan bukan sesuka hati sehingga menjadi satu perbualan biasa yang akhirnya menjadi satu bentuk kebisingan. Hal ini tentu sahaja mengganggu ketenteraman kelas.
  • Aktiviti 
    Murid digalakkan membuat pelbagai aktiviti seperti perbincangan dan persembahan kumpulan, melayari laman sesawang, mencari bahan di pusat sumber dan sebagainya. 
    Aktiviti begini mampu meningkatkan kreativiti, menjana minda dan mengukuhkan pemahaman melalui perkongsian ilmu dan maklumat. Apa yang menyedihkan ialah aktiviti ini tidak dilakukan mengikut peraturan dan arahan guru. 
    Murid-murid mengambil peluang ini untuk berbual kosong, melayari laman sosial, merayau di kawasan kelas atau sengaja memberi alasan ke tandas sehinggakan tugasan yang diberikan itutidak lengkap. 
    Dalam hal ini setiap kumpulan harus bertangganggungjawab dan bekerjasama melakukan tugasan yang diberikan. Sesungguhnya aktiviti seumpama ini merupakan salah satu strategi belajar serta mampu mempercepatkan proses pemahaman terhadap topik yang dipelajari.
Proses belajar banyak bergantung pada disiplin diri. Guru boleh memberi bimbingan dan tunjuk ajar tetapi murid sendiri harus berperanan untuk memanfaatkanya sebaik mungkin.
Kredit : ADAP 

Tip Peperiksaan 6


UNTUK cemerlang dalam peperiksaan, jangan belajar mengikut mood tetapi secara sistematik berdasarkan jadual yang ditetapkan. – Gambar hiasan

SANTAPAN MINDA Oleh Dr. Ismail Zain
RATA-RATA murid yang ditemui menyatakan masalah besar yang mereka hadapi ialah tiada “mood” untuk belajar. Gejala ini menyebabkan mereka kerap berasa mengantuk, kurang bertenaga, malas, tidak berkeyakinan dan selalu sahaja dalam keadaan bimbang. Sebenarnya, itulah kesan dan ciri-ciri murid yang tiada “mood” untuk belajar.
Mood” boleh diterjemahkan sebagai keinginan yang berkaitan rapat dengan keperibadian yang melibatkan gaya hidup seseorang individu. Ia meliputi pelbagai aspek kehidupan yang secara langsung atau tidak langsung mempengaruhi jiwa, pemikiran dan tindakan seseorang itu.
Antara faktor luaran dan dalaman yang mempengaruhi mood seseorang ialah seperti berikut:-
  • Kesihatan: 
    Badan yang sihat mampu memberi tenaga untuk berfikir dan bertindak. Fakor luaran ini termasuklah keseimbangan dalam amalan pemakanan, persekitaran belajar yang baik, dan peruntukan masa rehat yang mencukupi. 
    Penjagaan kesihatan yang bertujuan untuk menghindari sebarang jangkitan penyakit adalah penting untuk memastikan proses pembelajaran dapat berjalan dengan sempurna. Kekerapan menghadapi penyakit seperti pening kepala, demam dan sebagainya boleh mengganggu moodmurid untuk belajar. 
    Makanlah makanan yang seimbang agar badan kita mendapat zat yang diperlukan untuk menjadi lebih aktif yang mampu menangani segala bentuk kemurungan perasaan.
  • Perancangan: 
    Perancangan bolehlah dikaitkan dengan persiapan untuk belajar yang meliputi kelengkapan belajar, jadual belajar dan strategi dan teknik belajar. Kerap ali faktor ini memerangkap murid kerana ramai yang tidak mempunyai kemahiran perancangan yang spesifik. 
    Dalam hal ini jika seseorang murid itu mampu menyusun jadual belajar, mengetahui teknik belajar yang betul, mempunyai bahan pelajaran yang mencukupi serta membuat semua tugasan dalam jangka masa yang ditetapkan, sudah pasti murid akan sentiasa bergerak untuk belajar tanpa berasa jemu atau bosan.
  • Daya penggerak: 
    Daya penggerak adalah faktor dalaman yang terhasil daripada faktor luaran seperti amalan pemakanan dan gaya hidup yang sihat. Matlamat hidup, cita-cita, bimbingan dan dorong dalam pembelajaran mampu melonjakkan semangat dan motivasi diri. 
    Dalam hal ini jika seseorang murid berada dalam kalangan rakan-rakan yang mempunyai ciri-ciri seperti di atas, sudah tentulah murid itu akan terpengaruh dengan gaya hidup dan tindakan seperti ini yang mampu sekali gus bergerak dengan penuh semangat untuk mencapai kejayaan. 
    Rasa keinginan untuk belajar akan bertambah jika murid-murid sentiasa berdamping dengan mereka. Ini disebabkan setiap perbualan dan tindakan adalah terarah kepada soal pembelajaran tanpa terlalu banyak mempersoalkan perkara-perkara yang remeh temeh atau yang hanya tertumpukan kepada hiburan semata-mata yang akhirnya melekakan tanggungjawab kita sebagai seorang murid.
Tiada mood untuk belajar juga dapat diatasi jika anda sentiasa aktif mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti sama ada aktiviti kurikulum atau kokurikulum kerana aktiviti-aktiviti ini mampu memberi keseronokan diri.
Keseronokan ini mampu menghilangkan rasa letih dan bimbang, malah ia akan memberi tenaga untuk terus belajar tanpa rasa jemu

Kredit : ADAP