SERING kali murid-murid tidak dapat fokus di dalam bilik darjah ketika guru sedang mengajar. Keadan menjadi lebih teruk apabila terdapat segelintir murid yang membuat bising atau mengganggu rakan lain.
Hal ini menyebabkan guru terpaksa mententeramkan keadaan sehingga boleh mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Situasi seperti ini merugikan semua pihak.
Berikut ialah beberapa kaedah agar murid sentiasa fokus ketika belajar.
- Kesediaan kelas Murid yang bertugas haruslah bertanggungjawab untuk memastikan kelas berada dalam keadaan yang sudah bersedia untuk dimulakan pengajaran. Contohnya papan putih harus dibersihkan, pasang peralatan dengan sempurna seperti LCD projektor jika hendak digunakan atau sediakan bahan yang perlu dibawa sepertimana yang diarahkan oleh guru. Perkara ini harus diberi perhatian kerana ia boleh mengganggu pengajaran guru serta membazir masa.
- Kedudukan murid Kedudukan murid amatlah penting agar segala pengajaran dapat diikuti dengan jelas. Bagi mereka yang rabun penglihatan harus berada di barisan yang mampu memberi kejelasan imej dan teks yang terpapar di papan putih atau di skrin. Kegagalan melakukannya akan menyebabkan anda merasa resah yang akhirnya menyebabkan anda kehilangan fokus.
- Komunikasi Sememangnya anda digalakkan berkomunikasi iaitu berinteraksi antara semua rakan atau dengan guru. Interaksi ini harus dilakukan secara berhemah dan bukan sesuka hati sehingga menjadi satu perbualan biasa yang akhirnya menjadi satu bentuk kebisingan. Hal ini tentu sahaja mengganggu ketenteraman kelas.
- Aktiviti
Murid digalakkan membuat pelbagai aktiviti seperti perbincangan dan persembahan kumpulan, melayari laman sesawang, mencari bahan di pusat sumber dan sebagainya.
Aktiviti begini mampu meningkatkan kreativiti, menjana minda dan mengukuhkan pemahaman melalui perkongsian ilmu dan maklumat. Apa yang menyedihkan ialah aktiviti ini tidak dilakukan mengikut peraturan dan arahan guru.
Murid-murid mengambil peluang ini untuk berbual kosong, melayari laman sosial, merayau di kawasan kelas atau sengaja memberi alasan ke tandas sehinggakan tugasan yang diberikan itutidak lengkap.
Dalam hal ini setiap kumpulan harus bertangganggungjawab dan bekerjasama melakukan tugasan yang diberikan. Sesungguhnya aktiviti seumpama ini merupakan salah satu strategi belajar serta mampu mempercepatkan proses pemahaman terhadap topik yang dipelajari.
Proses belajar banyak bergantung pada disiplin diri. Guru boleh memberi bimbingan dan tunjuk ajar tetapi murid sendiri harus berperanan untuk memanfaatkanya sebaik mungkin.
No comments:
Post a Comment